登入選單
返回Google圖書搜尋
Islamisme dan Bahananya: Cabaran Besar Politik Malaysia Abad Ke-21 (Penerbit USM)
註釋Syarahan ini menelusuri perkembangan perbahasan dan wacana tentang Islam dan kedinamikan politiknya dalam masa 60 tahun (1957–2017), sejak Malaysia mencapai kemerdekaan sebagai sebuah entiti berdaulat dengan cita-cita untuk mendirikan sebuah negara bangsa. Elemen yang sangat penting dalam wacana ini ialah kedudukan rasmi Islam sebagai ‘agama persekutuan’ dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan pada masa yang sama memberi jaminan kebebasan beragama kepada agama-agama lain yang dianuti hampir 40 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Wajah demografi Malaysia menjadi semakin rencam daripada sudut etnik dan agama dengan kemasukan Sabah, Sarawak, Singapura bersama Malaya ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Berkait rapat dengan wacana ‘Islam politik’ atau ‘Islamisme’ di Malaysia ialah konsep-konsep ‘agama’ dan ‘sekularisme’ yang saling berinteraksi dan mengalami evolusi makna sebagai lanjutan daripada perbahasan umum yang melibatkan pelbagai pihak seperti para sarjana, ahli politik, birokrat, ulama, aktivis sosial, pengamal media dan pengulas media sosial. Hujahan yang dikemukakan di sini ialah makna ‘Islam’ yang difahami pemegang-pemegang taruh (stakeholders) telah mengalami perubahan pesat hasil interaksi aktif semua pihak berkepentingan termasuk organ-organ negara dan masyarakat sivil dengan Islam. ‘Islam’ dalam Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan pada 31 Ogos 1957 tidak lagi sama kefahamannya dengan ‘Islam’ dalam dokumen yang sama pada tahun 2017. ‘Islam’ dan ‘Islamisme’ berhadapan dengan konflik atau percampuran maksud. Pergolakan politik yang dialami Malaysia sejak tiga dekad kebelakangan ini, iaitu sejak kesan kebangkitan Islam menampakkan impaknya dalam landskap politik, ekonomi dan sosial. Situasi ini boleh dikesan susur galurnya kepada kefahaman keagamaan yang lebih tegar yang menggariskan sempadan ketat tentang apa yang disifatkan sebagai ‘Islamik’ berbanding apa yang ‘tidak Islamik’. Kemasukan elemen tegar dalam wacana Islamisme ini diarusperdanakan di bawah projek-projek Islamisasi pemerintah, dengan reaksi-reaksi berbeza daripada pelbagai kelompok masyarakat. Penularan elemen tegar dalam dasar Islamisasi yang diabsahkan melalui kerangka politik rasmi membawa implikasi mendalam kepada politik Malaysia dalam arena hubungan Muslim dengan bukan Muslim, malah antara sesama Muslim yang berbeza corak pemikiran daripada aliran arus perdana.