Buku ini membincangkan persoalan berhubung senario akulturasi dan identiti budaya, iaitu isu-isu berkaitan transformasi, adaptasi dan konservasi identiti budaya etnik Palau’ sejak pertengahan abad ke-20 sehingga abad ke-21 kini, iaitu melewati dekad 2020. Penulis berharap agar buku yang mengimbau dan menganalisis kehidupan berbudaya etnik Palau’ di Semporna, Sabah sejak 1950-an sehingga dekad kontemporari ini dapat menyumbang kepada korpus ilmu berhubung etnik tersebut. Menerusi garapan konsep serta utilisasi dan improvisasi teori-teori ilmu berkenaan, buku ini sememangnya bermanfaat untuk para ahli akademik, penyelidik dan para pelajar yang mengkhusus dalam bidang berkaitan. Malah, buku ini turut sesuai dijadikan bacaan umum agar masyarakat kita khususnya generasi muda dapat mengembangkan ufuk pengetahuan dan kefahaman mereka berhubung keunikan budaya suku etnik Palau’ yang kini dapat dikelompokkan sebagai salah satu etnik terancam.