"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." Al-Ahzab : 21
Jauh jarak kita dengan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW umpama langit dan bumi. Lebih 1400 tahun jauhnya sehingga kita kadangkala terasa untuk mengenali baginda itu satu utopia sahaja. Padahal sudah disediakan jambatan antara kita dengan baginda. Jambatan yang menjadi penghubung antara kita dengan Pencipta.
Jambatan itu pula adalah himpunan ayat al-Quran dan hadis yang sangat tinggi nilainya. Daripada keduanya, kita mencedok sunnah-sunnah warisan baginda. Lalu kita meneliti dan menghayatinya agar siratal mustaqim menjadi laluan yang kita tempuhi. Laluan yang menjadi impian sang pencinta agama. Dan pencinta agama itu adalah kita!
HEBATNYA RASULULLAH ini menghimpunkan cara pengurusan yang dilaksanakan yang akhirnya membawa kita menelusuri jejak-jejak kebijaksanaan baginda, baik dari sudut perniagaan, ketenteraan, dakwah mahupun berkeluarga. Sungguh! Baginda suri teladan sepanjang zaman. Tidakkah kita teruja untuk mahu mencontohi baginda?