登入選單
返回Google圖書搜尋
註釋

Mawlānā ʿUbayd Allāh Sindhī, selepas ini disebut “Shaykh” berpendapat bahawa kitab Ḥujjat Allāh al-Bālighah, selepas ini disebut “Ḥujjat Allāh” bukannya kitab fikah, bukannya kitab taṣawūf dan bukan juga kitab tafsir. Kitab ini dikarang oleh Shāh Walī


Allāh untuk menerangkan rahsia agama dan ḥikmahnya terkandung dalam ḥadīth-ḥadīth Nabi (S.A.W.). Dengan tujuan ini, maka semua ḥadīth ṣaḥīḥ dalam Islām tidak terkeluar daripada kandungan kitab ini; tetapi apabila pengarangnya mentafsirkan

ḥadīth-ḥadīth ini secara ‘aqlī, kebanyakan orang yang tidak memahaminya menganggap bahawa kitab Ḥujjat Allāh tidak merangkumi semua ḥadīth, sedangkan yang sebenarnya tidak demikian. Malah kitab ini dari awal hingga akhir merangkumi

daripada ḥadīth-ḥadīth ṣaḥīḥ dalam Islām.


Shaykh berpendapat, pengarang kitab ini meninggalkan kepada kita banyak karangan. Bagi setiap bidang ilmu terdapat satu kitab, tetapi untuk memahami kitab-kitab itu para pembaca perlu memahami kitab Ḥujjat Allāh ini. Sesiapa yang tidak memahami kitab Ḥujjat Allāh ini tidak mendapat habuan untuk memahami kitab-kitab lain yang ditulis oleh Shāh Walī Allāh. Tambahan pula, kebanyakan karangan beliau adalah dalam bahasa Parsi kecuali kitab Ḥujjat Allāh, kerana Shāh Walī Allāh berada pada zaman pemerintahan Sultan ʿĀlamgir yang mengiktiraf bahasa Parsi sebagai bahasa rasmi. Hanya kitab Ḥujjat Allāh ditulis dalam bahasa ʿArab supaya dapat disebarkan kepada seluruh umat Islām, penyebarannya tidak dikhususkan kepada umat India sahaja.

Pengenalan ini dipetik daripada nota tulisan tangan oleh Ḥaji Nīk ‘Abdullāh bin Ḥaji Wan Mūsā dari Kota Bharu, Kelantan. Beliau belajar kitab Ḥujjat Allāh daripada Shaykh semasa mereka berada di Makkah. Salasilah pembelajaran kitab Ḥujjat Allāh al-Bālighah ini diterima secara bermata rantai daripada guru kami Shaykh Muḥammad Ṣālleh Fikrī bin Ḥaji Wan Mūsā, [lihat lampiran 4] dan abangnya Ḥaji Nīk ‘Abdullāh bin Ḥaji Wan Mūsā, [lihat lampiran 3] Kubang Pasu, Kota Bharu, Kelantan daripada gurunya Shaykh ʿUbayd Allāh al-Sindhī al-Dihlawī [lihat lampiran 2] daripada gurunya Shaykh al-Hindī Mawlānā Maḥmūd bin Ḥasan al-Deobandī daripada Shaykh al-Islām Mawlānā Muḥammad Qāsim al-Nanutawī daripada Shaykh Muḥammad Isḥāq al-Dihlawī daripada neneknya sebelah ibu iaitu Imām ʿAbd al-ʿAzīz al-Dihlawī daripada ayahnya Al-Imām Ḥakīm al-Hind al-Shaykh Walī Allāh bin ʿAbd al-Raḥīm al-Dihlawī.


Kepakaran Shāh Walī Allāh dalam pelbagai bidang ilmu Islām diterangkan secara ringkas oleh Shaykh Muḥammad Ṣālleh Fikrī bin Ḥaji Wan Mūsā, al-Walī Allāhiyah dalam lampiran [1] yang kami sertakan di akhir buku ini. Semua huraian dalam [] yang ditaip condong adalah huraian oleh Mawlānā ʿUbayd Allāh al-Sindhī yang dicatatkan oleh Ḥaji Nīk ‘Abdullāh bin Ḥaji Wan Mūsā

yang kami terjemahkan ke bahasa Melayu, melainkan catatan yang dinyatakan penulisnya.


Sekian.